Monday, July 29, 2013

Menstruktur semula kewangan -Tinggal dalam Bot

Sebuah keluarga menjual kediaman empat bilik mereka untuk hidup di bot yang sempit kerana tidak mampu lagi menampung kos hidup. 
Kini keluarga Duncan Lawrence dapat menjimatkan STG8,000 (RM39,200) setahun untuk bil dan perbelanjaan rumah. 
Selepas hartanah mereka dibeli pada harga RM1.2 juta, mereka berpindah ke bot sepanjang 20 meter yang berharga RM392,102 di Stratford-upon-Avon, Warwickshire.

Debra, ibu kepada Jake, 7, dan Phoebe, 12, berkata: “Ia peralihan yang besar tetapi kami tidak mahu terperangkap dan berasa bosan dalam hidup.

“Saya tidak mahu menggadai janji - ia bebanan yang besar perlu kami pikul. Bot ini membebaskan kami daripada beban kewangan.”

Malah, Debra juga tidak lagi bergelar suri rumah. Kerja menguruskanrumah’ kini terletak di bahu suaminya, Duncan, 41, bekas pemandu lori apabila Debra keluar bekerja di sebuah kafe.

“Pada masa lalu, saya selalu ditinggalkan sendirian di rumah ketika Duncan bekerja. Kini dia punya lebih banyak masa bersama anak-anak.”

Tetapi Debra mengakui keadaan itu tidak sesuai untuk semua orang.

“Kami seperti beku apabila tiba musim sejuk dan jika anda jenis orang yang selesa dengan keadaan kediaman biasa, anda mungkin tidak sesuai untuk tinggal dalam bot seperti kami.”

Debra yang suka membeli-belah, kini perlu berkongsi almari pakaian dengan suaminya.

“Saya selalu keluar membeli pakaian - saya tidak suka memakai pakaian yang sama dua kali.

“Tetapi kini saya boleh berjimat cermat kerana tiada ruang lagi untuk menempat­kan semua barangan dalam bot.”

Ruang yang sempit itu juga perlu dikongsi dengan anak mereka.

“Mereka kini terpaksa berkongsi bilik dan ia membuatkan saya rasa bersalah, tetapi keadaan itu tidaklah teruk sangat.”

Malah, pasangan itu berkata kehidupan dalam bot menjadikan hubungan antara mereka lebih erat.

Duncan berkata: “Dulu Saya perlu bekerja 60 jam seminggu di jalan raya dan jarang dapat menghabiskan masa dengan isteri dan anak-anak. Bukan itu saja, pada akhir bulan bila saya membayar bil, saya selalu tidak cukup wang.

“Saya bosan menjadi hamba duit dan tiada kehidupan.”

Keadaan menjadi genting pada Februari lalu apabila beribu-ribu warga Britain perlu membayar bil yang ting­gi ekoran musim sejuk melampau.

Duncan yang sebelum ini berpendapatan RM127,434 setahun berkata: “Saya perlu membayar RM7,842 untuk bil elektrik selama enam bulan. Jika saya tidak bekerja keras, saya tahu saya tidak akan mampu untuk menampung hidup kami.”

Tambahan pula, gadai janji untuk kediaman empat bilik mereka di Quinton, barat Midlands memerlukannya membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,812, selain cukai majlis perbandaran sebanyak RM9,802 setahun dan bil air sebanyak RM930 untuk tiga bulan.

Kemudian bayaran insurans untuk dua kereta Volkswagen Beetle dan Nissan Qashqai sebanyak RM3,919 setahun.

Kini Duncan melihat beban bayaran bilnya berkurangan daripada RM53,888 setahun kepada RM14,696 sahaja.

Dia membelanjakan RM294 sebulan untuk minyak diesel bagi meng­gerakkan enjin bot itu dan membekalkan alat pemanas.

Sementara itu, bil elektrik pula hanya RM245 sebulan.

Bayaran insurans ialah RM1,764 setahun dan bayaran termahal ialah untuk lesen bot iaitu RM4,213.

Yang menguntungkan Duncan tidak perlu membayar cukai majlis perbandaran kerana botnya tidak ditambat di tempat yang sama. Dia juga terkecuali daripada membayar bil air.

Keluarga itu juga sudah menjual kedua-dua kereta mereka untuk membeli kereta yang lebih murah dan hanya perlu membayar RM1,468 setahun berbanding RM3,919 sebelum ini.

“Semua orang menyang­ka kami gila bila kami beritahu yang kami akan menjual rumah dan tinggal dalam bot.

“Tetapi ia perkara terbaik yang pernah kami lakukan. Kami sukakannya dan sepatutnya sudah lama berbuat demikian.”

MU : Sebuah kes stadi yang menarik untuk kita jadikan pedoman




No comments:

Post a Comment